Oleh Hartini Mohd Nawi
MENAMPILKAN rekaan dan konsep komersial terbaru serta memenuhi gaya hidup masyarakat
negara ini, The Podium di Menara Hap Seng, Kuala Lumpur ada segalanya.
Menara Hap Seng yang mengetengahkan konsep rekaan baru itu dulunya dikenali sebagai
MUI Plaza.
Tersergam indah dengan latar landskap dan binaan bangunan gaya moden, The Podium
yang dimajukan Hap Seng Consolidated Berhad itu merangkumi blok tiga tingkat.
Dibina dengan kawasan lobi serba lengkap bagi menara pejabat gred A, The Podium
itu memaparkan reka bentuk bergaya kontemporari yang memanfaatkan pancaran cahaya
semula jadi ke segenap ruang sekali gus mencetuskan suasana hijau, segar dan tenang.
Tingkat dua The Podium juga dihiasi taman berlandskap indah ala taman Jepun yang
menyediakan lokasi nyaman dan bebas daripada hiruk-pikuk kota.
Menurut Ketua Eksekutif Bahagian Hartanah Hap Seng Consolidated Berhad Datuk
Paul Ng Kee Seng, The Podium dibina sebagai mercu tanda kebanggaan Menara Hap
Seng.
“Reka bentuk bangunan ini turut menitik beratkan gaya hidup atau cara yang mencerminkan
imej baru selain merealisasikan fungsi Menara Hap Seng dalam menyediakan kemudahan
kelas pertama.
“Kombinasi kafe, restoran, bank dan gedung pelengkap gaya hidup yang disediakan
sebenarnya menjadi gabungan terbaik antara dunia perniagaan dan riadah.
Buat masa ini, The Podium menempatkan dua cawangan bank utama iaitu Maybank dan
CIMB Bank, kedai makan dan kafe termasuk Old Town White Coffee, Sister's Kitchen,
Nagomi Shabu-Shabu, Cafe 9, dan Elegant Inn Hong Kong.
“Penyewa dan pengunjung pastinya menantikan pembukaan lebih banyak gedung dan
kemudahan seperti auditorium baru dan pusat seminar untuk persidangan atau mesyuarat.
“Sebanyak RM60 juta dilaburkan untuk membaik pulih bangunan seperti membina The
Podium, menaik taraf lobi, memasang sistem penyaman udara dan alat pencegah kebakaran
baru dan meningkatkan ciri reka bentuk keseluruhan kemudahan dengan konsep landskap
terbaik,” katanya.
Hap Seng Consolidated Berhad sebuah syarikat yang progresif dengan pelbagai perniagaan
di bidang perladangan, pelaburan dan pembangunan hartanah, pembiayaan kredit,
perdagangan baja dan automotif dan bahan binaan serta kuari batu. |